Pemuda PAS Dekati Belia Melalui Futsal

SRI GOMBAK, 7 April- Pemuda PAS Kawasan Gombak mengorak lagi langkah mereka dengan menganjurkan perlawanan persahabatan futsal bersama-sama dengan belia daripada Taman Bukit Permata, Sri Gombak.

Perlawanan yang seringkali diadakan setiap minggu itu bermula pada jam 5.45 petang itu diadakan di Pusat Sukan Sinamax, Sri Gombak menyaksikan keputusan seri 20-20 antara kedua-dua pasukan.

Menurut salah seorang pemain yang mewakili belia Taman Bukit Permata, Amin, 26 yang sangat teruja dengan perlawanan ini berkata, penganjuran aktiviti tersebut dapat mengeratkan ukhwah di antara Pemuda PAS Kawasan Gombak dengan para belia.

Tambah beliau lagi, aktiviti futsal sememangnya dapat menarik minat masyarakat terutamanya para belia untuk lebih dekat lagi dengan Pemuda PAS Gombak.

Beliau juga cukup teruja untuk turun mengundi memandangkan pilihan raya kali ini merupakan pilihan raya yang pertama bagi beliau.

Bagi Saudara Muhammad Fadzli bin Abu Bakar pula selaku wakil daripada Pemuda PAS Kawasan Gombak menyifatkan bahawa perlawanan futsal yang dianjurkan dapat mengikis persepsi negatif masyarakat terhadap PAS yang selalu dilabelkan sebagai parti jumud yang hanya memfokuskan kepada aktiviti-aktiviti di surau dan ceramah agama sahaja.

Beliau menambah para belia sebenarnya sangat berminat dengan aktiviti sukan yang dianjurkan Pemuda Gombak yang telah diadakan sejak 23 tahun yang lepas.

Menurut beliau lagi, aktiviti sebegini disebarkan melalui hebahan umum dan menerusi laman sosial Facebook dan emel untuk menarik penyertaan belia.

“Dakwah perlu dibuat secara perlahan-lahan. Jika dahulu, apabila disebut sahaja tentang PAS, mereka (belia) terus menolak. Tetapi sekarang mereka terus menginginkan aktiviti-aktiviti daripada Pemuda PAS Gombak. Daripada segi keberjayaannya aktiviti ini, Alhamdulillah ia mencapai target,” tambah beliau ketika ditanya tentang pencapaian aktiviti yang telah dilakukan oleh Pemuda PAS Gombak.

0 Comments

Leave A Comment