Istiqamah Memperteguh Kemenangan

MUKTAMAR TAHUNAN
DEWAN PEMUDA PAS NEGERI SELANGOR
KALI KE-45

“ISTIQAMAH MEMPERTEGUH KEMENANGAN”

UCAPTAMA
Y.BHG KETUA
DEWAN PEMUDA PAS NEGERI SELANGOR

DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PENGASIH
LAGI MAHA PENYAYANG

Saudara Pengerusi Tetap,
Al-Fadhil Ustaz Nasaruddin Hassan Tantawi, Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat;
Wakil-wakil Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor,
Ketua, Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor dan wakilnya,
Ketua, Dewan Muslimat PAS Negeri Selangor dan wakilnya,
Pimpinan pemuda Pakatan Rakyat yang hadir,
Ketua-ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan-kawasan,
Pemimpin NGO dan Pertubuhan Belia Islam,
Dif-dif kehormat yang diraikan,
Para perwakilan, pemerhati dan sidang hadirin yang dihormati sekelian.

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
dan Salam Sejahtera,

Allah SWT berfirman yang bermaksud :

“Sesungguhnya orang-orang yang mengatakan ; ‘Tuhan kami ialah Allah kemudian mereka tetap istiqamah, maka tidak ada kekhuatiran ke atas mereka dan mereka tiada pula berdukacita. Mereka itulah penghuni-penghuni syurga, mereka kekal di dalamnya sebagai balasan atas apa yang mereka kerjakan.”
(Surah al-Ahqaf: 13-14)

MUQADDIMAH

Alhamdulillah, pertama dan selamanya marilah kita bersama-sama merafa’kan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT di atas pertemuan kita pada pagi yang mulia ini dalam meneruskan agenda pemerkasaan gerakan dan menyemarakkan lagi kebangkitan Islam di muka bumi Allah SWT.

Terdahulu, saya mewakili sekelian saf kepimpinan Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor merakamkan jutaan penghargaan dan terima kasih kepada al-Fadhil Ustaz Nasaruddin Hassan Tantawi, Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat para tetamu, para perwakilan dan pemerhati di atas kesudian hadir ke muktramar DPPNS kali ke -45. Saya berdoa dan berharap agar kehadiran tuan-puan semua pada hari ini bukan sekadar menjadi penyeri majlis, bahkan akan menyemarak kebangkitan pemuda PAS di medan jihad, dakwah dan seterusnya siasah mereka di negeri Selangor yang tercinta ini.

CABARAN PEMUDA SELANGOR

Hadirin yang dikasihi…

Cabaran dan mehnah adalah sunnah dalam perjuangan Islam. Justeru Allah SWT memerintahkan kita supaya sentiasa mempersiapkan diri dengan segala macam kekuatan dan persediaan bagi menghadapi sebarang bentuk ancaman sepertimana dalam fimanNya:

“Dan sediakanlah bagi menghadapi mereka dengan apa sahaja bentuk kekuatan (persediaan) yang kamu mampu dari kuda-kuda yang ditambat untuk berperang (yang dengan persiapan itu) kamu menggentarkan musuh Allah, musuhmu dan orang-orang selain mereka yang kamu tidak ketahui, sedang Allah mengetahuinya.”
(Surah al-Anfal: 60)

Pastinya cabaran dan mehnah untuk mempertahankan kemenangan lebih susah berbanding ketika kita mencari kemenangan. Kata kata hikmah Tuan Guru Presiden “ Bersabar dalam kemenangan lebih afdal daripada bersabar didalam kekalahan” menjadi azimat yang boleh digenggam erat bagi meneruskan perjuangan. Seperti yang kita sedari, bahawa tekanan dan cabaran semakin meningkat apatah lagi Pilihanraya Umum ke-13 semakin hamper dan mereka semakin terdesak untuk merampas semula kemenangan dari kita. Ditambah dengan langkah kemenangan tempang lagi sumbang mereka pada pilihanraya Negeri Sarawak baru-baru ini.
Bagi memastikan BN terus berkuasa di Putrajaya dan merampas kembali negeri Selangor , tidak mustahil strategi serta pendekatan yang lebih agresif dan tidak bertamadun akan digunakan pada pilihanraya umum yang akan datang memandangkan cara serta taktik tidak demokratik tersebut seringkali menyebelahi mereka. Antaranya, kita menyaksikan berlaku gelombang pertambahan luar biasa dalam daftar pemilih suku pertama dengan pertambahan sebanyak 70000 pemilih baru. Secara jelas Kita menyaksikan pertambahan ini lebih focus di kawasan yang ditandingi oleh PAS di Selangor.

Selain itu, Serangan fitnah terhadap hubungan Pakatan Rakyat khussusnya tuduhan mereka PAS hanya menjadi kuda tunggangan kepada PKR dan DAP terus dipalukan ke halwa telingan para pengundi khususnya pengundi luar Bandar dan melayu. Serangan fitnah peribadi juga semakin popular digunakan oleh Barisan Nasional dan sanggup dengan apa cara sekalipun mengaibkan musuh mereka. Banyak lagi cabaran yang akan dihadapi oleh kita dalam tempoh mendatang terutamanya dengan pengusaan media cetak mahupun elektronil serta media baru.

Maka sebagai menyahut tentangan dan berdepan menghadapi cabaran tersebut, bagi muktamar pada kali ini kita mengenengahkan satu tema iaitu “Istiqamah Memperteguh Kemenangan”.

Kita menyedari bahawa cabaran getir yang menanti di hadapan adalah sesuatu yang pasti. Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk mempersiapkan diri dan gerakan kita di semua peringkat bagi berhadapan dengan sebarang bentuk cabaran yang kian mencabar kewibawaan kita sebagai teraju utama dalam memimpin perubahan pada masa yang akan datang. Allah SWT dalam menjelaskan perkara ini berfirman :

“Dan sesungguhnya kami benar-benar akan menguji kamu agar kami mengetahui siapakah orang-orang yang berjihad dan bersabar di kalangan kamu ; dan agar kami menyatakan (baik buruknya) hal-ehwal kamu.”
(Surah Muhammad: 31)

TARBIYYAH ASAS ISTIQAMAH

Sidang muktamar yang dihormati sekalian…

Rasulullah SAW dalam sabdanya menyatakan:

“Akan sentiasa ada satu thaifah (kumpulan) dari ummatku yang berdiri di atas kebenaran, mereka tidak akan tergugat oleh orang-orang yang menentang mereka sehinggalah datang perintah Allah.”
(Hadith riwayat Muslim)

Bagi memastikan perjuangan PAS terus berada pada landasan yang betul seterusnya kekal relevan dan diterima dalam arus perdana, tidak pantas bagi kita untuk mengenepikan tentang soal Tarbiyyah yang menjadi tunjang utama dalam sesebuah Harakah Islamiyyah. Tidak dapat dinafikan, tanpa perjalanan dan penghayatan tarbiyyah yang istiqamah, mana mungkin kita mampu melahirkan generasi pemuda yang bakal mempersada gerakan yang sekian lama kita dokongi ini.

Untuk merealisasikan objektif ini, tunjang utama pemantapan tarbiyyah sepatutnya diberikan tumpuan dan perhatian yang sewajarnya. Institusi usrah di semua peringkat bermula dengan jawatankuasa pemuda cawangan, kawasan dan seterusnya negeri mestilah diberikan nafas baru supaya pelaksanaannya terus berjaya menepati garis panduan yang ditetapkan, tidak hanya dipandang sepi seolah-olah hidup segan mati tak mahu.

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor dengan ini menyeru, agar penekanan semula secara bersungguh terhadap elemen terpenting dalam jamaah seperti syahsiah kepimpinan, ukhuwwah Islamiyyah, wala’ kepada kepimpinan, menjaga kerahsiaan parti dan akhlaq dan disiplin dalam jamaah dapat dilakukan sebaiknya melalui pendekatan program-program tarbiyyah supaya ianya tidak terhakis lantas akan menjadi penyebab kepada berlakunya pelbagai masalah di dalam parti seperti yang dapat kita saksikan kebelakangan ini.

Sidang pendengar yang dikasihi …

Di samping kita meningkatkan mutu pengurusan gerakkerja parti di semua peringkat, aspek penjanaan tarbiyyah ruhiyyah tidak sepatutnya dikesampingkan. Kita mestilah memikirkan dan merangka beberapa pendekatan baru dalam memastikan aspek penjanaan tarbiyyah ruhiyyah ahli dan pimpinan akan mendatangkan hasil dan impak yang positif kepada pentarbiyahan diri kita khasnya. Selaras dengan seruan Allah SWT di dalam al-Quran :

“Hai orang yang berselimut, bangunlah (untuk bersembahyang) di malam hari, kecuali sedikit (daripadanya), iaitu seperdua atau kurangilah dari seperdua itu sedikit atau lebih dari seperdua itu. Dan bacalah al-Quran itu secara tartil.”
(Surah al-Muzammil: 1-4)

Tinggilah harapan kita untuk melihat tarbiyyah gerakkan ini mampu melahirkan saf pemuda yang terus kekal berjuang di atas dasar keimanan dan ikhlas semata-semata kerana mencari keredhaan Allah di muka bumi ini di samping cita-cita tertinggi kita untuk melihat Islam yang kita junjung ini kembali gemilang, berada di takhta yang sewajarnya.

ISTIQAMAH MEMPERTEGUH KEMENANGAN

Allah SWT berfirman :

“Dan Allah tidak menjadikannya melainkan sebagai khabar gembira dan agar hatimu menjadi tenang kerananya; dan kemenangan itu hanyalah dari sisi Allah, sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.”
(Surah al-Anfal : 10)

Para pemuda harapan ummat sekelian,

Pilihanraya umum 2008 telah menjadi justifikasi penting kepada politik tanah air kita apabila buat pertama kalinya BN kehilangan kuasa 2/3 di Dewan Rakyat dan beberapa buah negeri termasuklan negeri Selangor yang tercinta ini berjaya terlepas dari genggaman kuasa zalim UMNO-BN sejak sekian lama. Justeru, kuasa rakyat menolak kezaliman UMNO-BN perlulah dilihat sebagai titik tolak kepada kebangkitan gelombang serta mood siyasah di kalangan masyarakat yang harus diteruskan demi memastikan ia menjadi penyumbang kepada pemerkasaan dakwah menerusi medan siyasah yang kian diterima dan difahami.

Kemenangan bersejarah PAS dan Pakatan Rakyat menguasai Dewan Negeri Selangor yang telahpun masuk ke tahun yg ke-3 hari ini perlulah diinsafi dan mestilah terus diisi dengan program-program yang memberi manfaat langsung kepada rakyat lantas membezakan cara kita dan UMNO-BN yang telah memerintah negeri Selangor sebegitu lama.

Dalam usaha memperteguhkan kemenangan ini kita tidak boleh lari dengan menoleh melihat kekuatan fundemental parti. Bagaimana Ahli, cawangan, kawasan, agensi parti? Adakah sudah diperkasakan? Kerbajikan mereka? Pimpinan mesti prihatin dan peduli dengan kebajikan dan penghargaan sewajarnya perlu diberikan. Jangan sehingga ahli seperti merintih dan merayu untuk mendapatkan sesuatu seperti yang berlaku kepada guru PASTI kita.

Segala kelemahan yang ada selama ini; seperti ketidakselarasan maklumat, pertembungan perancangan dan idea antara kerajaan negeri dan parti, mestilah diselesaikan dan diambil tanggungjawab secara kolektif dan bersama. Sehubungan dengan itu, saya menyeru kepada para pemuda Selangor di semua peringkat supaya sentiasa bersedia menawarkan diri, kepakaran dan idea untuk mencurah bakti dan keringat bersama kepimpinan Negeri bagi mengisi kemenangan yang ada. Kita tidak boleh lagi bersifat pasif dan menjadi ahli yang hanya akan menyumbang pemikiran dan tenaga setelah diminta, tetapi kita perlu lebih aktif, kreatif dan dinamis dalam menghadapi masa-masa yang mendatang.

Dalam keadaan penyakit dan virus yang menyerang BN dan parti komponenya termasuklah UMNO kian membarah, kita mestilah bijak membaca dan mencari ruang untuk bersedia pada bila-bila masa mengambil alih tempat dan peranan mereka dalam arus politik perdana termasuklah menjadi kerajaan dalam memastikan kebajikan dan kepentingan rakyat terus terjaga dan terbela. Sejak tahun 2008 rakyat di negeri Selangor ini telah memberikan mandat kepada kita, maka Dewan Pemuda PAS negeri Selangor mengajak para pemuda untuk merenung kembali apakah amanah yang diterima ini telah disempurnakan sebaiknya? Adakah kita sudah menyempurnakan manifesto kita?

Nabi SAW bersabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya ia adalah Amanah. Dan pada hari kiamat ia merupakan kehinaan dan penyesalan, kecuali bagi orang yang mengambilnya sesuai dengan haknya dan melaksanakan apa yang menjadi tuntutannya” (Hadith riwayat Muslim)

Oleh yang demikian, kita tidak boleh lagi leka dengan kesenangan dan kemenangan yang kita ada, tetapi perlu bertindak bermula dari sekarang untuk memantapkan lagi strategi di samping membuat persediaan awal untuk menghadapi pilihanraya umum yang akan datang.

ISTIQAMAH KE MEDAN JUANG

Sidang muktamar yang dirahmati Allah SWT sekalian,

Allah SWT berfirman yg bermaksud:

“Patutkah manusia itu menyangka bahawa mereka akan dibiarkan hanya berkata : ‘kami beriman’, sedang mereka tidak diuji”
(Surah al-Ankabut: 2)
Allah SWT secara pasti akan menimpakan ujian ke atas orang yang beriman dan kemenangan yang kita kecapi hari ini adalah salah satu daripadanya untuk menguji sejauh mana keikhlasan kita dalam memperjuangkan agama-Nya. Setelah seringkali kita diuji dengan kekalahan, kali ini kita sedikit mengerti akan peritnya ujian kemenangan. Jika kita berjuang hanya untuk mendapatkan kemenangan, maka sekarang Allah telah memberikannya kepada kita. Akan tetapi, jika kita ikhlas berjuang kerana ingin menegakkan kalimah Allah SWT, maka inilah peluang dan masanya.

Paluan gendang pilihanraya telah pun dipalu. Keangkuhan langkah tari BN yang tampak sedikit tempang di bumi kenyalang baru-baru ini sedikit pun tidak mematahkan semangat mereka. Bahkan mereka menyusun gerak yang lebih teratur walau di bahu mereka terpalit penuh krisis dan dendam, di badan mereka merebak ribuan jenis penyakit organisasi. Namun, berbekal nafsu untuk terus berkuasa, juak-juak ini akan terus memerah keringat menjarah harta dan wang rakyat demi mempertahankan kepentingan politik sempit mereka. Ketahuilah wahai pemuda, bahawa UMNO dan BN sangat kepingin untuk berkuasa semula di Selangor.

Sehubungan dengan itu, saya menyeru pemuda Selangor di setiap peringkat untuk mempersiap siagakan jentera pilihanraya pemuda; bersama dan bersekali dengan jentera pilihanraya peringkat Kawasan (JPRk), peringkat Dun (MTD) dan peringkat Cawangan (UPU). Ingin ditegaskan disini bahawa, walaupun kita sudah meiliki jentera kerajaan di semua peringkat, ini tidak bermakna kita boleh mengabaikan gerak kerja teras parti. Jentera pemuda di semua peringkat mestilah terus menjadi check and balance dalam mengawal selia system penyampaian kerajaan. Kewujudan jawatankuasa pemuda di setiap cawangan mestilah diperbanyakkan dengan memberi tekanan kepada memperkemaskan aplikasi Unit Kerja Jamaah (UKJ). Organisasi pilihanraya mestilah berada pada tahap siap siaga, bersedia dengan segala aspek gerak kerja utama pilihanraya seperti pendaftaran pengundi baru, semakan daftar pemilih, culaan, dan keperluan system sokongan pilihanraya. Sebarang bentuk kelalaian dan kecuaian yang boleh mengakibatkan kita kehilangan kerusi di mana-mana kawasan yang kita tandingi, adalah tidak boleh dimaafkan sama sekali.
Jentera penerangan mestilah berada pada tahap yang lebih daripada bersedia, segala bentuk pendekatan bagi menyampai dan menyalurkan maklumat terus kepada sasaran haruslah disusun. Mengeksploitasi ICT sebagai medium perhubungan dan medium dakwah adalah merupakan salah satu tugas dan kewajipan mukmin pada hari ini dalam mendepani kecanggihan serta kemajuan era globalisasi. Adalah diharapkan bahawa ahli pemuda bersedia untuk bekerjasama dan terkehadapan dalam memaksimumkan fungsi dan peranan bagi mencapai matlamat yang digariskan.

Dengan kesungguhan seperti yang saya nyatakan tadi, maka pantaslah bagi Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor untuk menyatakan pendirian supaya pemuda diberikan ruang dan peluang yang lebih besar dalam mengemukakan calon-calon bagi bertanding dalam pilihanraya yang akan datang.

Siding hadirin yang dihormati,

Dalam misi kita untuk memperteguh kemenangan ini, Hubungan antara PAS dan rakan PR yang lain mestilah diperkukuhkan dengan saling memahami dan menghormati dasar dan tujuan perjuangan parti masing-masing. Saya dengan ini mengajak pimpinan pemuda PR melangkah ke hadapan dengan mendukung penuh nilai-nilai murni perjuangan serta membuktikan bahawa kita mampu merealisasikan cita-cita perjuangan kita dengan penuh kesedaran dan penuh rasa tanggungjawab.

Sebagai sebuah gerakan dakwah, tanggungjawab membawa dan memperkenalkan Islam kepada masyarakat bukan Islam seharusnya tidak dikesampingkan. Seluruh kekuatan pemuda mestilah digembleng untuk mengatur aktiviti-aktiviti bagi mengisi kesedaran ini. Pelbagai pihak terutamanya Lajnah Perpaduan Nasional dan Dewan Himpunan Penyokong PAS diharapkan dapat terus merencana pendekatan berterusan bagi menjayakan objektif ini.

Selain daripada itu, tumpuan kepada golongan pengundi teras kita iaitu orang-orang melayu janganlah diambil mudah. Kita mesti istiqamah menghulur khidmat bakti kepada masyarakat dan menyantuni mereka dengan bersungguh sehingga akhirnya kita ber “akar” di dalam masyarakat dan diterima sebagai sebuah institusi masyarakat yang akan dipertahankan oleh kawan dan lawan.

ISTIQAMAH MEMIMPIN ANAK MUDA

Sidang hadirin sekelian,

Golongan muda bukan sahaja bakal mewarisi tanah air mereka malah akan menjadi penentu masa depan bangsa dan Negara. Generasi muda pada hari ini bukan sahaja menghadapi kesan krisis ekonomi ekoran ketiadaan pekerjaan, namun turut disogokkan dengan pelbagai bentuk hiburan yang melalaikan lantas menyekat daya berfikir anak muda seterusnya menjauhkan mereka daripada hanyut di bawa arus hedonisme yang ditaja oleh UMNO selama ini.

Justeru, Dewan Pemuda PAS negeri Selangor dengan ini menyeru setiap pimpinan dan ahli pemuda di semua peringkat agar mengambil tindakan dalam memperteguh langkah membuka lembaran dan ruang dakwah kepada golongan muda belia menerusi pendekatan kreatif dan segar bertemakan “Orang Muda Geng Kita” melalui program-program kepemudaan seperti sukan dan rekreasi, hiburan alternatif dan aktiviti amal kebajikan. Kerjasama semua agensi parti termasuk Unit Amal, Jabatan Kesenian, Kebudayaan dan Sukan (DACS) mestilah terus berganding bahu bersama-sama dalam mencapai matlamat ini. Penglibatan tokoh artis, budayawan, ahli sukan, penulis dan beberapa golongan lain di dalam PAS mutakhir ini perlulah dipandang positif dan disambut dengan tangan yang terbuka bagi sama-sama kita membentuk dan membina semula jatidiri anak-anak muda. Kita juga menggesa kerajaan Selangor mengemukakan agenda bertindak yang mesra anak muda dalam tempoh terdekat. DPPNS bersedia pada bila bila masa menghulur bantuan bagi membantu merangka agenda anak muda di Selangor.

Dalam kita meneruskan pendekatan secara tradisional, beberapa pendekatan moden lagi terkini yang sememangnya menjadi darah daging anak muda masa kini seperti saluran interaktif blog, facebook, yahoo messanger, skype, sms, mms dan sebagainya mestilah dimanfaatkan sepenuhnya. Penggunaan medium alternatif seperti ini dijangka dapat mendekatkan kita kepada mereka mereka lantas meningkatkan lagi sokongan anak muda kepada perjuangan yang kita bawa. Ini secara tidak langsung membuktikan kesungguhan kita dalam usaha meraih sokongan golongan muda sehingga ianya akan diterjemahkan kepada peratusan undi dalam pilihanraya yang akan.

ISTIQAMAH MENINGKATKAN MUTU PENGURUSAN YANG LEBIH EFEKTIF

Sidang muktamar sekalian,

Saidina ‘Ali bin Abi Thalib r.a pernah berkata :

“Kebenaran yang tidak tersusun itu akan dikalahkan oleh kebatilan yang tersusun rapi.”

Tidak dapat dinafikan lagi bahawa, sesebuah organisasi yang berkesan memiliki aspek pengurusan dan pentadbiran yang sistematik dan teratur. Menyedari hakikat ini, saya dengan ini menyarankan agar hubungan yang baik antara dewan pemuda PAS kawasan dan pihak pengurusan dewan pemuda PAS Negeri dapat diteruskan demi melengkapkan lagi agenda profesionalisme yang merupakan satu asas penting dalam gerak kerja berorganisasi. Keterikatan dan kerjasama yang erat antara kita dengan pimpinan di Badan Perhubungan Negeri juga haruslah dipertingkat supaya pihak pimpinan sentiasa mendapat maklumat dan mengikuti perkembangan terkini lantas prihatin dengan nasib dan kebajikan ahli serta institusi parti.

Selain daripada itu, mengambil bahagian dalam jentera kerajaan, khususnya dalam menjalin kerjasama dengan para EXCO dan ADUN juga perlulah diberikan penekanan yang secara tidak langsung sebenarnya dapat membantu merealisasikan agenda yang ingin dibawa oleh jamaah.

Sidang hadirin sekalian,

. Aspek disiplin dan adab dalam berjamaah dikalangan pimpinan dan ahli, aspek keselamatan dan kerahsiaan juga akan dititikberatkan. Adalah diharapkan setiap lajnah dan jabatan yang ada pada sesi kali ini juga mestilah berazam akan memperkemaskan lagi sistem pengurusan masing-masing secara menyeluruh agar natijah yang akan diperolehi nanti akan mendatangkan manfaat dan mencapai objektif.

AKHIRUL KALAM

Para muktamirin yang dikasihi,

Allah SWT berfirma yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, sahutlah seruan Allah dan seruan Rasul apabila Rasul menyeru kamu kepada perkara-perkara yang menjadikan kamu hidup sempurna; dan ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah itu Maha Berkuasa mengubah atau menyekat di antara sesorang itu dengan (pekerjaan) hatinya dan sesungguhnya kepadaNya lah kamu akan dihimpunkan”
(Surah al-Anfal:24)

Sebagai akhirnya, marilah kita menjadikan muktamar kita pada hari ini sebagai suatu medan untuk kita bermuhasabah diri dan organisasi. Menjadikan ianya sebagai pentas menilai yang benar-benar mendatangkan manfaat ke atas perjuangan memartabatkan Islam. Marilah kita menanamkan azam untuk terus menginfaqkan diri, tenaga, masa dan harta demi kemenangan Islam yang tercinta.

Saya mewakili Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor dengan ini merakamkan jutaan terima kasih kepada Al-Fadhil Ustaz Nasaruddin Hassan Tantawi, Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat atas kesudian tenaga dan masa untuk hadir menyempurnakan majlis perasmian Muktamar kita apda hari ini. Jutaan terima kasih kepada seluruh warga kerja Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor, Dewan Pemuda PAS Kawasan-kawasan, para pimpinan Pakatan Rakyat dan NGO yang dapat bersama dengan kita pada hari yang berbahagia ini.

Tidak dilupakan para perwakilan yang memacu idea merentas perjuangan, panitia muktamar yang berusaha bertungkus-lumus menjayakan muktamar pada tahun ini, para dermawan yang sangat bermurah hati dan para pemerhati yang turut bersama pada hari ini. Sekali lagi saya merakamkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga.

Semoga segala amal uasaha baik yang kita lakukan akan diterima dan dibalas oleh Allah SWT dengan sebaik-baik ganjaran.

Sekian, wabillahi al-taufiq wal hidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh..takbirr!!

1 Comment
  • alitopan
    Jalitopan

    10/05/2011

    TAK ADA BEZA PUN SEJAK PAS ERINTAH SELANGR NI…MASJID DULU ZAMAN bn RAMAI JEMAAH TAPI SEKARNAG SEJAK pas SEMAKIN KURANG KERANA SEMUA AKTIVITI ADALAH BUKAN KERANA ALLAH TAPI KERANA POLITIK pas YG MANA RAKYAT MULA SEDAR DAN MELUAT..
    MANA AHLI pas ..NAPE TAK NAMPAK SOLAT DI MASJID…YG ADA SEMUA ORG LAMA YG MMG KEMASJID TAK KIRA ZAMAN DAN IKLIM…DAN KEBANYKAN MEREKA ADALAH ORG umno TOTOK..
    MUGKIN PR ADA CADANGAN UTK MEMENUH MASJID DGN MENGAJAK MUSLIMAH DAP BERSAMA SAMA BERI SYARAHAN DAN BERIADAH DI MASJID…
    BUAT LA APA LU SUKA…!

    Reply

Leave A Comment