UIAM, Universiti Ini Ada Masalah?

UIAM, Universiti Ini Ada Masalah?
=====================

Kami warga Gombak dan juga mewakili Dewan Pemuda PAS Gombak (DPPG) merasa terpanggil untuk memberi komentar tentang insiden pembatalan program forum “PRU 13: Harapan Malaysia” yang sepatutnya dianjurkan di UIAM, Gombak pada 4 Mac semalam.

DPPG difahamkan, ia merupakan anjuran Majlis Perwakilan Mahasiswa UIAM atau lebih dikenali sebagai SRC – Students Representative Counsil dan sudah pun mendapat kelulusan daripada pentadbiran UIAM.

Memandangkan UIAM berada di dalam daerah Gombak, DPPG merasa terpanggil untuk memberi komentar dan pandangan.

Sebenarnya ini bukan kali pertama ia terjadi.

Sebelum ini, program kuliah oleh Ustaz Azhar Idrus yang berlangsung pada bulan Oktober 2011 yang lalu yang dianjurkan oleh Kelab Ma’ruf yang sepatutnya diadakan di Masjid UIAM tetapi telah bertukar tempat yang lebih kecil disaat-saat akhir program hendak bermula.
Begitu juga, program K-Fiqh: Politik Islam yang sepatutnya berlangsung di sana pada 15 Sep 2012 tetapi telah dibatalkan beberapa hari sebelum program turut mengalami nasib yang sama.

Selain itu, diskusi tentang hudud yang bertajuk ‘Hudud Dalam Consti’ yang dianjurkan oleh Persatuan Mahasiswa Undang-undang yang dijadualkan pada 15 November 2012 turut dibatalakn oleh STADD UIAM dalam tempoh yang pendek.

Turut menjadi isu juga, pembatalan penyertaan bekas Presiden SRC sesi 2011/2012, Mohammad Iqbal dalam rancangan Hujah TV 9 telah dibatalkan tanpa notis dalam masa tidak sampai satu jam sebelum program itu bermula.

Program In Person With Dato Saifuddin Abdullah turut menjadi topik hangat pada tahun lalu apabila ia dibatalkan pada saat-saat akhir.
Skripnya sama; dapat kelulusan dan kemudian batal di saat-saat akhir tanpa alasan munasabah.

Bayangkan, penganjuran program sebegitu rupa; panelis sudah dipanggil, tempat sudah ditempah, deposit sudah dibayar, promosi sudah berjalan – dan persediaan program sudah 80% berjalan – tiba-tiba dibatalkan ‘last-minute’???!!

Apakah yang terjadi sebenarnya?

Untuk makluman, UIAM mempunyai sejarah tersendiri pada pasca-Reformasi 1999 dahulu apabila pengaruh Anwar yang menjadi Presiden UIAM sebelum itu mula dihakis sedikit demi sedikit dengan perlantikan Sanusi Junid kemudiannya.

UIAM juga merupakan satu-satunya universiti tempatan yang bertahan penguasaannya oleh kumpulan pro-mahasiswa yang didominasi oleh We Unite For Islam (WUFI) semenjak 1998 sehingga sekarang 2013, kira-kira hampir 16 tahun.

Rekod ini merupakan rekod cemerlang oleh mahasiswa UIAM yang begitu dicemburi oleh lawan mereka pro-aspirasi yang condong kepada kerajaan, dalam keadaan di kampus-kampus lain sudah banyak yang jatuh ke tangan mahasiswa pro-aspirasi.

Oh ya, pro-aspirasi pernah ter-menang dalam pilihanraya kampus pada 2005 apabila WUFI bertindak memboikot pilihanraya.

Tidak cukup dengan itu, UIAM juga pernah mencatat sejarah Malaysia dan mungkin juga peringkat dunia apabila menjadi satu-satunya universiti yang pernah memecat Presiden MPP, yang menang dalam pilihanraya kampus!

Bayangkan, tidak beralaku di dalam mana-mana kampus di Malaysia dan di dunia, seorang Presiden MPP yang dipilih oleh mahasiswa universiti di dalam pilhanraya kampus dipecat, tetapi UIAM melakukannya pada tahun 2002!

Kini, 2013 dengan rektor baru yang bertugas sejak 10 Ogos 2011, Prof. Dato’ Sri Dr. Zaleha bt Kamarudin membawa UIAM jauh ke belakang nampaknya.

Teringat kata-kata seorang rakan ketika penulis di UIAM dahulu “Universiti Ini Ada Masalah”.

Itu dulu, untuk tahun 2000, tapi kini tahun 2013 mungkin lebih sesuai “Universiti Ini Ada Macai”.

(Penulis merupakan bekas pelajar UIAM yang mengundi WUFI sepanjang pilihanraya kampus dan kini tinggal di Gombak yang juga Presiden pertama Kelab Maarub UIAM Gombak)

 

Helmizan Karim,

Naib Ketua Pemuda PAS Gombak,

Dewan Pemuda PAS Gombak (DPPG)

48171_10200164388927482_517150356_n

pecat

pecat-2

1 Comment

Leave A Comment