Belasungkawa Cikgu Radzi Mohd Yusuf

604148_10152735972340594_69478179_n

(Gambar daripada album Kursus Pengurusan Lajnah Dewan Pemuda PAS Gombak 2005)

Sedang saya (admin) menyelongkar gambar-gambar lama untuk dijadikan bahan kempen, tiba-tiba terjumpa gambar ini.

Entah kena, hati ini menjadi sebak.

Beliau ialah tokoh politik dan pilihanraya yang amat disegani di dalam dan luar parti.

Saya masih ingat lagi, kali pertama saya terlibat pilihanraya sebaik sahaja grad daripada kampus pada tahun 2004, mengenalinya sebagai master-mind politik PAS Selangor dan Gombak khususnya.

Pada PRU 2004, beliualah yang bertanggungjawab membuat jangkaan tarikh pilihanraya bagi Selangor yang berbeza dengan tarikh-tarikh ramalan negeri-negeri lain dan ternyata ramalan beliau 90% tepat, dan hanya berbeza beberapa hari sahaja.

Ketika itu, hati saya terdetik “Ah, mungkin kebetulan sahaja”, maklumlah masih mentah terlibat dengan politik kepartian.

Pada 2008, sekali lagi beliau membuat jangkaan tarikh pilihanraya PRU 12 yang berbeza dengan jangkaan tokoh-tokoh PAS lain dan kali ini sekali lagi ‘ramalannya tepat belaka’. Kekaguman saya terhadap beliau semakin bertambah.

Tambahan lagi, dengan kerjaya belia sebagai seorang guru dan kemudiannya dinaikkan pangkat menjadi pegawai di Kementerian Pelejaran dan tidak menjadikan ia sebagai alasan untuk mengelak kerja-kerja parti.

Beliau bukan sahaja seorang guru, malah seorang guru cemerlang! Beberapa kali menerima anugerah daripada Pejabat Pendidikan Daerah dan Negeri, sekalipun selalu diberi amaran kerana terlibat secara langsung dengan politik kepartian.

Beliau selaku Timbalan YDP PAS Gombak dan Pengarah Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Selangor, merencana strategi PAS Selangor dan Gombak khususnya untuk beberapa siri pilihanraya sehingga berjaya menawan Selangor daripada hemogoni Umno / BN pada 2008, dalam masa sama Gombak menjadi satu-satunya parlimen dan DUN di Selangor yang PAS dan PKR menyapu bersih kerusi parlimen dan tiga kerusi DUN daripada Umno.

Tidak salah untuk saya gelarkan beliau sebagai arkitek politik PAS Selangor.

Sungguh, beliau seorang yang hebat, berpandangan jauh, dan strategik; dalam kerjaya, dan politik. Malah dalam pembentukan keluarga dan baitul-muslim pun beliau boleh dijadikan idola. Kerjayanya sebagai guru diterjemahkan ke dalam kehidupan hariannya sebagai ayah dan ketua keluarga.

Kehebatan beliau inilah menjadikannya dicemburi musuh-musuh politik beliau.

Pada 2011 beliau ditimpa satu penyakit misteri sehingga beberapa kali dimasukkan ke hospital namun doktor tidak mampu mengesan penyakit yang menimpa beliau.

Setelah berikhtiar cara moden, dicuba pula dengan cara tradisional dan perubatan Islam dan didapati ia berpunca daripada ‘buatan orang’ yang dipercayai oleh musuh-musuh politik beliau.

Namun ia bukan alasan untuk beliau tinggalkan perjuangan ini.

Pernah dalam satu muktamar pada 2011 (mungkin muktamar terakhir dihadiri beliau), apabila disapa mengapa beliau masih hadir ke muktamar sedangkan beliau sakit dan elok berehat di rumah, respon mudahnya “Mana ada rehat dalam perjungan ini, sheikh” dan masih menguntumkan senyuman.

Tanggal 9 Julai, sehari selepas BERSIH 2.0 kami mendapat pengkhabaran duka tentang pemergian beliau ke alam barzakh, berita yang cukup meruntun hati kami, Pemuda PAS Gombak yang selama ini menjadi anak buah beliau.

Kehilangannya cukup dirasai, lebih-lebih lagi dalam kehangatan PRU13 ini.

Tiada lagi sentuhan-sentuhan strategisnya, dan tiada lagi jangkaan-jangkaan tepatnya tentang tarikh PRU. Malah PRU kali ini, sepanjangan pengalaman saya terlibat secara langsung, adalah PRU yang paling banyak tarikh ramalan dan jangkaan dan tiada satu pun yang tepat.

Sekalipun beliau sudah tiada, namun semangat juangnya kami sambung dan diteruskan. Setiap tunjuk ajar dan panduan akan sentiasa kami ingati.

Benar sekali kata beliau “tiada rehat dalam perjuangan” dan beliau kotakan kata-kata itu sehingga ke hembusan nafas terakhir.

Semoga roh beliau aman di sana.

Al-Fatihah…

-AMR-

0 Comments

Leave A Comment