Gejala Melayu murtad sangat mengkhuatirkan

KUALA LUMPUR:Sepatutnya kedudukan Islam di kalangan orang Melayu, walaupun mempunyai takrif yang tersendiri di dalam Perlembagaan Persekutuan namun ia tidak boleh memberi jaminan bahawa orang Melayu secara hakikatnya boleh kekal keislamannya.

“Kita boleh menegaskan bahawa orang Islam tidak boleh murtad mengikut hukum Islam tanpa dikenakan hukuman mengikut syariat Islam akan tetapi untuk selesa dengan hanya takrifan Perlembagaan mengenai definisi orang Melayu adalah berugama Islam adalah dangkal,” kata Setiausaha Agung Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid (gambar) dalam satu kenyataan.

Kenyataan penuh seperti di bawah.

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) kesal dengan tabiat meraih ‘kesempatan politik’ (political mileage) dalam budaya politik di Malaysia. Dalam hampir semua tutur kata, ahli politik mengambil kesempatan untuk menyerang musuh politik walaupun maklumat yang sahih belum lagi diperolehi.

Cukup hanya melalui laporan akhbar, sudah memadai seluruh jentera media diguna untuk melancarkan kempen memburukkan imej seseorang yang menjadi musuh politik. Tidak cukup dengan itu agensi keselamatan juga diperalat untuk memberi tekanan kepada pihak yang dituduh.

Pemimpin politik pula bergegas mahu memberi komen tanpa menunggu maklumat sepenuhnya dan tanpa bersedia mendapat penjelasan dari yang dituduh. Malang sekali pemimpin politik yang mahu mencuri peluang menghentam lawan juga menunjukkan tahap pemikiran rendah dan murah bila memberi komentar sangat dangkal dan sarat dengan prejudis politik yang memualkan.

Inilah yang kami perhatikan di kalangan kumpulan yang terlalu obses dengan politik sehingga seluruh jentera, tenaga dan fikiran tertumpu kepada kepentingan politik dan bukan kepentingan umat dalam ertikata yang sebenar.

Politik di Malaysia nampaknya bukan lagi suatu aspek kehidupan yang bertujuan mengatur urustadbir dan membangun negara akan tetapi sudah menjadi suatu pertarungan, permainan dan percaturan yang sangat hodoh apabila aktor politik menyerang lawan dengan apa sahaja cara hatta menyebar maklumat palsu dan fitnah.

Media pencatur dan pencacar politik kian menonjolkan peranan menyebar fitnah tidak kira sama ada maklumat yang disebar itu betul atau di sebaliknya. Matlamatnya hanya satu. Rosakkan imej lawan atau paling tidak imej seorang musuh politik sekurangnya dapat dicalarkan. Itu sudah dianggap memadai untuk menjatuhnya. Walaupun ia termasuk menyebar fitnah.

Kini sentimen yang cepat dimanipulasi ialah sentimen agama kerana ia dianggap paling sensitif kepada orang-orang Melayu Islam. Pada hal matlamat yang tersirat bukan mahu membela Islam akan tetapi hanya untuk meraih peluang menghentam musuh politik.

Semua sudah sangat maklum betapa kerosakan agama sudah menjadi parah bukan sekarang akan tetapi sudah sedemikian lama. Soal orang Islam rosak aqidah pernah berkali-kali diungkap dalam pelbagai ceramah dan kuliah oleh para ulama. Namun pihak berkuasa tidak mempedulikan perkembangan yang berlaku sehingga kini keadaan menjadi sangat parah.

Sekarang apa yang sepatutnya menjadi tumpuan ialah bagaimana dengan ujudnya berbagai agensi agama yang punya kuasa yang diperundangkan, kedudukan Islam dan perlaksanaan hukumnya dapat dilaksanakan dengan berkesan. Sementara itu juga harus diberi perhatian bagaimana program pendidikan dan dakwah perlu diperkukuhkan.

Sebab itu bila pernyataan diungkap mengenai status Islam di kalangan orang Melayu, seharusnya yang perlu diberi tumpuan ialah bagaimana orang Melayu dapat mengatasi gejala terhakis keIslaman mereka. Di samping itu juga ditumpukan apa yang perlu digerakkan untuk menyelamatkan pegangan Islam di kalangan orang Melayu.

Semua pihak harus mengelak diri dari menjadikan ia sebagai polimik politik dan saling menuduh, jauh sekali dijadi modal politik dengan meletakkan kepentingan politik kelompok lebih utama dari kepentingan Islam itu sendiri.

Sepatutnya kedudukan Islam di kalangan orang Melayu, walaupun mempunyai takrif yang tersendiri di dalam Perlembagaan Persekutuan namun ia tidak boleh memberi jaminan bahawa orang Melayu secara hakikatnya boleh kekal keislamannya.

Kita boleh menegaskan bahawa orang Islam tidak boleh murtad mengikut hukum Islam tanpa dikenakan hukuman mengikut syariat Islam akan tetapi untuk selesa dengan hanya takrifan Perlembagaan mengenai definisi orang Melayu adalah berugama Islam adalah dangkal.

Tidak dapat dinafikan betapa gejala orang Melayu sudah longgar pegangannya kepada Islam kini sangat mengkhuatirkan. Secara umum gejala murtad bukan suatu perkara yang dapat dinafikan sama ada diisytiharkan secara rasmi atau tidak.

Oleh itu polemik mengenainya tidak seharusnya hanya tertumpu kepada persoalan undang-undang semata-mata tetapi juga kepada usaha yang berkesan untuk mendidik orang Melayu khasnya dan masyarakat Islam amnya mengenai bagaimana mengujudkan kehidupan Islamiyyah dalam semua aspek.

Kami dapati kini isu kebebasan beragama tersasar jauh dari apa yang sepatutnya dibincangkan. Sementara kita menegaskan bahawa orang Melayu tidak boleh bebas murtad dan boleh pilih agama lain, kini isunya terheret dalam arena pertarungan politik bukan untuk menyelesaikan bagaimana hendak memulihkan orang Melayu yang telah mengisytiharkan diri keluar dari agama Islam.

Kami sangat kesal isu ini berlarutan dibincangkantidak bertujuan untuk menangani isu melaksanakan apa yang sepatutnya untuk memulihkan pegangan Islam di kalangan orang Melayu tetapi menyerang lawan politik di luar batas kebenaran.

Padahal yang jelas menghina hukum hudud pula dilepaskan hanya kerana beliau berada dalam kem politik yang sama. Lebih malang lagi kami mendapati ada pula ahli agama menjadi jurucakap bagi pihak beliau untuk mengesahkan bahawa pernyataan beliau tidak salah akan tetapi disalahertikan.

Kami menuntut agar semua pihak menghentikan perdebatan yang merugikan Islam dan umat Islam sendiri. Pihak agensi agama Islam yang berwewenang hendaklah memperbetulkan persepsi orang bukan Islam terhadap Islam dan bekerja keras untuk mengangkat martabat Islam secara murni bukan hanya dengan mewujudkan program yang bersifat kosmetik.

http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/14454-gejala-melayu-murtad-sangat-mengkhuatirkan

0 Comments

Leave A Comment