Pemuda Gombak sokong larangan minuman keras di tempat awam
Pemuda Gombak sokong larangan minuman keras di tempat awam
GOMBAK, 4 Julai – Ramai yang terkejut tentang cadangan Adun Seri Andalas, YB Dr. Xavier Jayakumar di sidang Dun Selangor pada 2 Julai 2013 bahawa perlu satu undang-undang melarang perbuatan meminum minuman keras di tempat awam.
Dewan Pemuda PAS Gombak (DPPG) amat gembira dan amat bersetuju dengan cadangan tersebut memandangkan arak boleh membahayakan. Bukan sahaja peminum, tetapi premis jualan juga perlu dipantau. Penjualan arak murah di 7-elevan dan kedai-kedai runcit juga perlu di halang. Malah paling penting penjualan kepada yang beragama Islam adalah satu kesalahan dan perlu diambil tindakan.
Ini menunjukkan persahabatan dalam Pakatan Rakyat boleh memahamkan orang bukan Islam tentang bahaya pengaruh bagi peminum arak.
Ini bertepatan dengan Islam mengharamkan arak sejak 14 abad yang lalu. Orang Arab jahiliah sebelum kedatangan Islam adalah peminum arak yang tegar. Mereka menganggap arak sebagai minuman terbaik untuk menikmati keseronokan hidup sebenar. Terdapat juga di kalangan segelintir umat Arab jahiliah yang baru memeluk Islam cuba mempengaruhi Rasulullah SAW dengan mengatakan arak boleh menjadi penawar dan ubat untuk seseorang. Rasulullah segera menyanggah anggapan itu dengan bersabda:
“Ia bukan ubat, bahkan sebenarnya adalah punca kepada segala penyakit”
(Riwayat Muslim).
Rasulullah s.a.w bersabda lagi,yang bermaksud: ”Arak ialah setiap yang merosakkan akal fikiran.”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Firman Allah Ta’ala yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak dan judi dan pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. ” (Surah Al-Maaidah: Ayat 90)
Ujar Dr. Xavier Jayakumar pengambilan minuman ini dilakukan oleh ramai dari masyarakat India berpendapatan rendah.
Selain itu, beliau juga menuntut agar kerajaan mengharamkan penjualan arak murah bagi membendung gejala sosial yang menurutnya semakin serius terutama yang boleh diperolehi dengan mudah dan berleluasa di kedai runcit, kedai perubatan Cina dan pasaraya di seluruh negeri.
Ia menimbulkan masalah gejala sosial dan menyebabkan banyak berlakunya kes jenayah dan penderaan rumah tangga di kalangan masyarakat India yang tinggal di kawasan bandar dan luar bandar.
Larangan ini juga bukanlah bermaksud mengharamkan terus arak kepada orang bukan Islam, tetapi pengambilannya perlulah dikawal.
Cadangan ini juga selaras dengan dasar PAS supaya arak tidak dijual sewenang-wenangnya ditempat awam dan di kawasan majoriti Muslim. Jadi, Dewan Pemuda PAS Gombak (DPPG) berharap cadangan ini bukan sahaja diguna pakai di Negeri Selangor, tetapi kerajaan pusat juga turut menyambut baik cadangan ini dan diperluas ke seluruh negeri memandangkan Malaysia adalah negara majoriti Islam.
Malah amat baik sekali jika kilang arak terbesar di Malaysia dan di Asia Tenggara iaitu Carlsberg di Shah Alam dikaji semula dan seboleh-bolehnya ditutup bagi meraikan umat Islam di Malaysia.
Jadi, inilah antara kesan tahalluf siasi PAS – PKR – DAP. Pemimpin bukan Islam mula faham tentang bahaya arak walaupun dalam masa yang sama ada pemimpin Islam yang buat-buat tidak faham. Lebih parah ada yang jadi tauke kilang arak San Miguel.
Akhir sekali, saya gembira kerana cadangan ini datang dari Adun non-muslim PR.
SYARHAN HUMAIZI ABD HALIM,
KETUA PEMUDA PAS GOMBAK
0 Comments