Khoo Kay Kim : Pilih Pemimpin Patuhi Rakyat, Bukan Lagak Seperti Pembesar Zaman Dulu
SHAH ALAM, 4 APR : Rakyat Malaysia diseru agar memilih pemimpin yang patuh kepada rakyat dan bukannya berlagak seperti pembesar dahulu di dalam Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU-13) nanti.
Ini kerana menurut pakar sejarah, Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim, pemimpin itu nanti merupakan ahli politik yang akan berkerja untuk masyarakat yang memilih mereka.
“Mereka yang memberi undi kepada calon itu dan kalau calon itu menang, calon itu mesti sentiasa berkhidmat kepada pengundi, dia bukan orang besar.
“Rakyat kita sebagai pengundi pun tak faham, bila mereka memilih seorang ahli politik, mereka kemudian menghormati ahli politik itu seperti pembesar zaman dahulu.
“Padahal yang dipilih oleh rakyat itu semestinya sentiasa patuh kepada rakyat,” kata beliau ketika dihubungi TV Selangor hari ini.
Pengundi juga diingatkan agar berhati-hati memilih calon dalam PRU-13 nanti dengan mengelak memilih pemimpin yang gemar menggunakan kuasa untuk kepentingan diri, keluarga dan kroni mereka.
Ketika menyentuh isu amalan demokrasi di negara ini, Dr Kay Kim menambah seperti di negara Asia dan Afrika, rakyat dan pemimpin Malaysia tidak menghormati undang-undang dan gagal memahami demokrasi dengan baik berbanding negara-negara barat.
“Di barat, awal lagi golongan muda sudah dididik tentang percaya demokrasi ini sepatutnya dilaksanakan dan bagaimana pentingnya undang-undang.
“Dikebanyakkan negara Asia dan Afrika mereka tak faham apa itu undang-undang dan mereka tak faham bagaimana demokrasi sepatutnya dilaksanakan,” ujar Dr Kay Kim.
Sebelum ini, terdapat banyak laporan keganasan politik kebanyakkannya terhadap parti-parti Pakatan Rakyat dan usaha menyekat suara rakyat melalui pencabulan undang-undang dan manipulasi daftar pemilih.
Antaranya serangan terhadap bas Jelajah Merdeka, treler Negara Berkebajikkan, ceramah PR di Johor, Malacca dan Negeri Sembilan dan aktivis mahasiswa di Pekan, Pahang.- Selangorku
0 Comments