Melangkah Keluar dari Ijtima’ Tarbawi 2010

Oleh : Ustaz Termizi Din

Tarbiyah Teras Perjuangan

Tarbiah yang syumul adalah bukan sahaja perlu mempunyai silibus dan manhaj tarbiah yang baik. Namun, ia juga memerlukan rijal-rijal yang sanggup dan mampu untuk menjadi murabbi. Inilah hasrat utama penganjuran Ijtima’ Tarbawi 2010 di Rusila pada 1-3 Oktober 2010.

Tahniah kepada Ustaz Din dan Pemuda PAS Pusat! Ungkapan yang mungkin selayaknya wajar ditujukan kepada Ketua Pemuda, Lujnah Tarbiah dan barisan exco DPPP kerana berjaya menganjurkan Ijtima’ Tarbawi 2010. Program yang memakan masa 3 hari 2 malam ini telah berjaya mencetuskan rasa keindahan berjemaah dan meningkatkan kembali keyakinan untuk meneruskan perjuangan Islam melalui platform PAS. Hampir 5000 pemuda berjaya dikumpulkan dari seluruh negara sebagai peserta. Rata-rata yang ditemui berpuas hati dengan pengisian yang dihidangkan sepanjang program.

Tajuk-tajuk yang dibincangkan dalam Ijtima’ Tarbawi amat penting untuk difahami. Namun, tidak terlalu melampau sekiranya saya nyatakan bahawa walaupun ia sangat penting, ramai yang sudah meminggirkan tajuk-tajuk perbincangan seperti ini. Tajuk-tajuk seperti PAS dan Tarbiah, Tarbiah dan pilihanraya dan Tarbiah Harakiah amat jarang menjadi tajuk-tajuk utama ceramah, usrah dan perbualan harian di kalangan anggota parti. Mungkin ramai yang lebih berminat kepada tajuk Government in Waiting, Menuju Putrajaya dan sebagainya. Bukan menafikan kepentingan tajuk-tajuk ini, tetapi kita mahukan kemanangan yang bermakna dengan asas perjuangan yang murni selaras dengan tema muktamar lalu “Murnikan Perjuangan, Maknakan Kemenangan

Bukan sahaja tajuk-tajuk teras ini diperbincangkan dalam Ijtima’, bahkan pembentang dan pengulasnya adalah dari kalangan murabbi-murabbi PAS seperti Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Ustaz Yahya Uthman, Ustaz Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man, Dato’ Ustaz Abu Bakar Chik, Ustaz Nashruddin Tantawi, Ustaz Zulkifli Ismail, Ustaz Nik Zawawi, Ustaz Ahmad bin Yahya dan ramai lagi. Mereka adalah pakar dan individu penting di sebalik tajuk-tajuk ini. Bukan itu sahaja, para peserta berkesempatan untuk mengkhatamkan kitab Tafsir Surah al-Hujuraat bersama Tuan Guru Presiden selama 4 jam lebih. Alhamdulillah…

Kelahiran PAS Demi Melestarikan Tarbiyah

PAS ditubuhkan dengan mengambil pedoman dari perintah Allah SWT. Bukan dengan tujuan untuk mendominasi politik tanahair semata-mata. Demikianlah yang diungkapkan oleh Tuan Guru Presiden dalam ucapan perasmian Ijtima’ Tarbawi. Ucapan tersebut umpama beberapa perenggan matan yang penuh dengan pati-pati genuine yang perlu dimunaqasyah dan dihadamkan. Bukan sahaja motif penubuhan PAS berlandaskan perintah Allah, bahkan perlembagaan yang menjadi dasar, pendekatan sehinggalah akhlak serta disiplin anggota parti perlu selari dengan perintahNya. Justeru, PAS tidak akan kuat dengan dasar yang hebat semata-mata, tetapi memerlukan ahli yang mempunyai fikrah yang jelas dan komitmen yang mantap bagi menggerakkan segala dasar dan perancangan berdasarkan waqi’ semasa.

Dato’ Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man dalam kuliah Maghribnya mengingatkan para pemuda tentang ancaman dan cabaran yang akan dihadapi oleh umat Islam khususnya gerakan Islam. Beliau mengingatkan tentang TIGA fenomena utama yang akan dihadapi oleh gerakan Islam iaitu;

  1. Kemunculan gerakan sufiyah dan tarikat yang membuang elemen jihad.
  2. Kemunculan gerakan Islam yang mengenepikan siasah dalam menhaj perjuangannya.
  3. Kemunculan gerakan yang mendapat restu dari Yahudi dan musuh-musuh Islam.

Ingatan ini juga disambut oleh Ustaz Nik Zawawi ketika forum Tarbawi iaitu PAS akan berhadapan dengan cabaran yang lebih besar iaitu dari kuasa besar dunia seperti Amerika.

Kesibukan dalam menggerakkan jentera PAS di lokasi masing-masing bukanlah alasan untuk menjauhkan diri dari Al-Quran. Amat malang sekiranya kita yang bergelar pejuang yang ingin memartabatkan Al-Quran, tiba-tiba tidak berdampingan dengan Al-Quran. Itulah pesanan Tokoh Tarbiah PAS, Ustaz Yahya Usman dalam pembentangannya. Us. Nasharuddin Mat Isa, Timbalan Presiden PAS yang menjadi pengulas selepas itu menjelaskan 5 tanggungjawab anggota PAS terhadap Al-Quran iaitu;

1-       Membaca Al-Quran

2-       Memahami terjemahan Al-Quran

3-       Memahami tafsiran Al-Quran

4-       Beramal dengan isi kandungan Al-Quran, dan

5-       Istiqamah beramal dan memperjuangkannya

Apabila tanggungjawab dan tugas ini dapat disempurnakan, barulah anggota PAS dapat menjadi duta-duta kepada Islam (????? ???????  ). Timbalan Presiden PAS itu turut berkongsi pengalamannya bertemu dengan Ketua Biro Politik HAMAS, Khaled Meshal. Pemimpin kanan HAMAS itu memuji PAS dengan menyatakan keagumannya kerana PAS berjaya menubuhkan Kelab Penyokong yang dianggotai oleh orang bukan Islam. “Antum waqi’ie”, kata beliau. Justeru, Us. Nasharuddin menyeru supaya ahli PAS berbangga menjadi orang Islam yang berintima’ dengan PAS dan setiap anggota perlu mengikut program yang dianjurkan oleh PAS.

Justeru, mana mungkin perjuangan PAS ini dapat mencapai kejayaan tanpa didokongi oleh anggota parti yang memahami ghayah, hadaf dan manhaj yang dibawa oleh PAS. Demikian apa yang disebut oleh Us. Nasharudin Tantawi dalam kuliah Subuh pada program berkenaan. Ktiga-tiga elemen tersebut akan membentuk kefahaman yang rukun pertama dalam arkanul bai’ah sebagaimana yang disusun oleh Imam Hassan al-Banna dalam  Risalah Ta’lim.

Ijtima’ Tarbawi kali ini juga membincangkan kemunculan jemaah-jemaah dan gerakan-gerakan baru dalam arena dakwah tanah air dan global. Sikap PAS terhadap jemaah-jemaah lain adalah jelas, iaitu PAS menghormati mereka sebagai rakan-rakan da’ie yang mempunyai pendekatan masing-masing. PAS juga menuntuk gerakan-gerakan lain supaya menghormati dasar dan manhaj perjuangan PAS serta tidak mengganggu-gugat perjalanan PAS dalam pergerakannya. PAS juga mengajak mereka untuk bersatu dalam perkara yang berkaitan dengan kebaikan dan kepentingan sejagat. Prof. Madya Dr. Badlihisham Mohd Nasir yang merupakan pensyarah di Jabatan Dakwah dan Kepimpinan, Fakulti Pengajian Islam UKM, berkata terdapat kumpulan yang mahu masyarakat beranggapan PAS adalah hanya parti politik. Tidak lebih dari itu. Kumpulan atau golongan ini tidak mahu PAS dilihat sebagai gerakan Islam yang menggunakan politik sebagai salah satu medium dakwahnya. Beliau berkata demikian ketika mengisi salah satu slot ulasan dalam Ijtima’ Tarbawi berkenaan.

Pada kemuncak program ini, peserta-peserta berpeluang mendengar kupasan dari tiga ahli panel dalam forum tarbawi. Forum yang dipengerusikan oleh Sdr Khairul Faizi, Setiausaha DPPP menampilkan Us. Ahmad Yahya (Ketua Pemuda DPP Kedah), Ustaz Zulkifli Ismail (Dewan Ulama’ PAS Pusat) dan Ustaz Nik Zawawi Salleh). Pada hemat saya, forum tersebut boleh dikatakan sebagai kesimpulan yang kita dapat garapkan dari program Ijtima’ ini. Antara kesimpulannya ialah:

  1. Sesungguhnya untuk mencapai dan menggapai sesuatu kejayaan, menuntut kepada kesungguhan (al-juhd). Setiap kesungguhan pula menuntut kepada pengorbanan.
  2. Para pejuang PAS perlu komited dan optimis dengan kemenangan yang pasti akan dianugerahkan oleh Allah SWT.
  3. Ahli PAS khususnya Pemuda perlu menerima, mengikuti dan menghayati tarbiah mengikut acuan PAS.
  4. Untuk memperkasakan tarbiah PAS, sebuah jabatan perlu dibentuk untuk menguruskan proses perkaderan dan pentarbiahan PAS.
  5. Pengerusi Lujnah Tarbiah juga perlu diserahkan kepada posisi yang tinggi dalam sesebuah organisasi.
  6. Keperluan untuk memahami fiqh marhalah, fiqh aulawiyat dan kepentingan nilaian waktu dan membelakangkan kepentingan peribadi.
  7. Tarbiah nizamiah yang kita perolehi dalam usrah, tamrin dan sebagainya perlu dipanjangkan ke tarbiah midaniah seperti pilihanraya, demonstrasi, menggerakkan organisasi parti di peringkat masing-masing dan sebagainya.

Inilah antara realiti yang sepatutnya diterima oleh mereka yang ingin benar-benar berada dalam perjuangan Islam, hidup dan mati bersamanya. Untuk melihat keadilan ditegakkan dan kezaliman dimansuhkan adalah merupakan sebuah cita-cita yang tinggi. Bagi pejuang Islam dalam PAS, cita-cita ini mestilah seiring dengan neraca pertimbangan agama Islam yang menjadi prinsip perjuangan PAS, bukannya menggunakan mentaliti yang terlalu cetek ini.

Tidak ada jalan singkat untuknya. Bukan sedikit bayaran yang terpaksa dikeluarkan. Diri mestilah sanggup menerima ujian dan melakukan pengorbanan dengan lingkungan tawakkal dan pergantungan mutlak kepada Allah SWT.

Khabbab bin Al-Arat merupakan seorang sahabat Rasulullah SAW yang amat terkenal dengan ujian dan seksaan yang dialaminya semata-mata untuk mempertahankan aqidahnya. Namun, lihatlah bagaimana respon daripada Baginda Rasulullah apabila Khabbab menemuinya.

Sabda Rasulullah saw :

? ?? ??? ??? ???? ???? ?? ????? ??? ???? ??? ??? ????? ??? ???? ???? ??? ???? ???? ???? ??? ????? ???? ?? ?? ?? ?????? ????? : ??? ????????? ? ??? ??????? ? ???? : ?? ??? ?? ????? ???? ?????? ????? ?? ?? ????? ????? ???? ?? ???? ???????? ????? ??? ???? ????? ????? ? ???? ?????? ?????? ?? ??? ???? ? ???? ?? ???? ??? ?? ???? ? ???? ????? ???? ??? ????? ??? ???? ?????? ?? ????? ??? ??? ??? ?? ???? ??? ???? ? ????? ??? ???? ? ????? ????????

Maksudnya : “Dari Abi Abdullah Khabbab bin al Arat Rha. telah berkata : Kami telah mengadu kepada Rasulullah saw sedang Rasulullah saw pada waktu berbaring di bawah naungan Kaabah berbantalkan serban . Maka kami bertanya : Apakah engkau tidak berdoa memohon kemenangan bagi pihak kita? Adakah tidak Tuan berdoa bagi pihak kita ?

Maka berkata Rasulullah saw : Sesungguhnya orang – orang sebelum kamu , ditangkap seorang lelaki lantas digali lubang lalu ia ditanam di dalamnya , kemudian dibawa datang gergaji lalu digergaji kepalanya sehingga terbelah dua dan disikat badannya dengan sikat besi sehingga meluruhkan daging dan tulangnya , namun demikian itu tidak memalingkan ia dari agamanya.

Demi Allah . Nescaya Allah menyempurnakan urusan ini ( agama Islam ) sehinggalah musafir dari Sana’a ke Hadhra Maut tidak lagi takut melainkan hanya kepada Allah , akan tetapi kamu adalah golongan yang gopoh.”

Riwayat Imam Bukhari

Tahniah Pemuda Gombak!

Tahniah kepada Us. Syarhan Humaizi, Pemuda PAS Gombak dan Sdr. Damanhuri Dol selaku pengarah delegasi yang berjaya memimpin lebih 40 orang pemuda PAS Gombak ke Ijtima’ Tarbawi ini. Semoga kita berjaya bistiqamah dan tetap utuh dalam berhadapan dengan ujian yang menimpa.

Kita hanyalah mata rantai perjuangan yang dibawa oleh Baginda Rasulullah SAW. Kita bukanlah yang pertama dan yang terakhir. Sekiranya kita tidak berminat dengan perjuangan ini, ia tidak akan sedikit pun memberikan kesan kepada perjuangan Islam.

Perjuangan adalah milik Allah SWT. Dan Allah SWT tidak akan membiarkan perjuangan yang suci ini dimusnahkan. InsyaAllah, akan ada tapisan dariNya.

Ayuh Pemuda Gombak, kita panjangkan tarbiah yang diperolehi di Rusila ini ke medan Galas dan pilihanraya umum ke-13 akan datang. Allahu Akbar!!

Jumpa di Ijtima’ Tarbawi 2011 di Pulau Melaka, Kelantan!

Ustaz Termizi Din adalah Ketua Lajnah Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Gombak sessi 2009-2011.

This entry was posted in DPPG, DPPP, Ijtima' Tarbawi 2010, Isu Semasa, Ketua Pemuda, PAS, Pemuda, Penulis Tamu, Presiden PAS, PRK Galas, Tarbiyyah. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *