Jom ubah versi Muhyiddin
Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu rakyat mengaplikasikan slogan ‘ubah’ di Selangor bagi mengembalikan pentadbiran negeri itu kepada Barisan Nasional.
Timbalan Perdana Menteri berkata slogan laungan pembangkang itu sepatutnya diaplikasikan di negeri di bawah pentadbiran mereka seperti di Selangor.
“Di Selangor ini, kita ambil slogan itu, pulangkan kepada mereka (pembangkang). Kita ubah pentadbiran negeri sekarang dan kembalikan kepada BN,” katanya.
Berucap dalam kempen pilihan raya di Parlimen Petaling Jaya Selatan dekat Kuala Lumpur malam ini, beliau berkata hanya pemerintahan BN dapat menjamin pembangunan berterusan ekonomi, sosial dan budaya.
Beliau menarik perhatian pengundi mengenai ketidakupayaan pembangkang mengurus ekonomi negara apabila mereka membentangkan manifesto pilihan raya yang tidak praktikal.
Sebagai contoh, pembangkang menjanjikan gaji minumum RM1,200 sebulan dan jika ia dilaksanakan bukan sahaja membebankan majikan, malah mungkin menyebabkan ada syarikat yang terpaksa gulung tikar.
“Sekarang kita dah kuat kuasa undang-undang gaji minumum RM900 sebulan, tapi masih ada majikan yang buat rayuan.
“Apakah syarikat yang dikenakan gaji minimum RM1,200 mampu membayar atau tidak kadar itu? Kerana mereka akan mengeluh bila bayar mungkin tak ada untung, kalau bayar terpaksa tutup kilang, pekerja mungkin terpaksa dihentikan. Ini bukanlah satu dasar yang baik,” kata Muhyiddin.
Beliau berkata satu lagi bukti pembangkang tidak bijak mengurus ekonomi negara apabila mereka berjanji menurunkan harga minyak yang sebenarnya telah lama dilaksanakan oleh kerajaan menerusi pemberian subsidi.
“Tiap bulan kita bagi RM2 bilion, setahun kita bagi RM24 bilion, untuk apa, untuk pastikan rakyat tidak terbeban,” katanya.
Selain itu, Muhyiddin berkata banyak lagi janji manis pembangkang yang terkandung dalam manifesto mereka jika dilaksanakan akan menyebabkan defisit negara melonjak daripada 4.5 peratus sekarang kepada 11 peratus dan seterusnya menjadikan Malaysia bankrap dalam tempoh dua tahun.
“Kalau defisit naik 11 peratus, rating kita akan jatuh dan pelabur antarabangsa yang sekarang ini datang mencurah-curah akan berhenti dan bantutkan perkembangan ekonomi, rakyat pun akan hilang pekerjaan,” katanya.
Sumber: Bernama
0 Comments