1,000 Umat Islam Gombak Berkumpul Bantah Lesen judi

28 Mei, Gombak – Kira-kira 1000 umat Islam sekitar Gombak berkumpul selepas menunaikan solat Jumaat, di Masjid Amaniah, Batu Caves bagi membantah lesen judi bola yang dikeluarkan oleh Kerajaan Malaysia.

Demonstrasi tersebut adalah salah satu daripada siri Kempen Anti Judi (K.E.J.I) yang dianjurkan oleh Dewan Pemuda PAS Gombak.

Turut hadir di dalam himpunan aman tersebut ialah Sdra Sabki Yusof, Naib Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Hasbullah Ridzwan (Ketua Pemuda PAS Selangor), Ustaz Salehuddin Nasir (YDP PAS Gombak), Ustaz Syarhan Humaizi Abdul Halim (Ketua Pemuda PAS Gombak), dan Ustaz Zulkifli Ahmad (Ketua Penerangan Pemuda PAS Selangor).

Di dalam himpunan tersebut, Sdra Sabki Yusof menegaskan bahawa yang dilakukan oleh Pemuda PAS dalam mengangani isu judi ini sejajar dengan ajaran Nabi Muhammad yang menganjurkan bahawa setiap perbuatan mungkar hendaklah ditegah dengan tangan atau kuasa, sekiranya tidak mampu maka menggunakan lidah atau akhir sekali membenci dengan hati dan ia adalah selemah-lemah iman.

Ustaz Hasbullah Ridzwan pula menyeru supaya masyarakat Gombak untuk sama-sama bangkit membasmi budaya  judi ini agar ia tidak menjadi barah kepada masyarakat, malah turut sama mencabar Pemuda Umno untuk sama-sama menentang lessen judi bola ini.

Tidak ketinggalan, Ustaz Salahuddin Nasir turut mencabar UMNO Bahagian Gombak agar bangkit membantah lessen judi bola ini kerana ia bukan ajaran Islam, serta bukan juga ajaran mana-mana agama di dunia ini.

Di dalam himpunan tersebut, pelbagai kain rentang, poster dan risalah K.E.J.I diedarkan kepada peserta-peserta demonstrasi.

Pelbagai lapisan masyarakat, baik lelaki mahupun wanita, tua atau pun muda, malah kanak-kanak turut hadir bagi menyatakan bantahan mereka terhadapat kemungkaran yang dilakukan oleh Kerajaan Umno / BN.

Peserta yang hadir tidak terhad kepada masyarakat ahli qaryah Masjid Amaniah, Batu Caves sahaja, malah turut serta adalah mahasiswa-mahasiswa daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak ketinggalan, masyarakat luar Gombak, seperti kawasan Ampang, kawasan Batu, serta kawasan Selayang turut hadir bagi menyokong kempen ini.

Himpunan tersebut berjalan dalam keadaan aman tanpa sebarang gangguan daripada pihak berkuasa.

Himpunan tersebut diakhiri dengan bacaan doa penutup oleh Ustaz Zakaria, Naib YDP PAS Kawasan Gombak serta doa wehdah oleh Ustaz Salehuddin Nasir.

Lagi gambar-gambar sekitar demonstrasi aman ini  di laman Facebook kami di http://www.facebook.com/pages/PemudaGombakcom/265133725593.